Tuesday, March 09, 2010

Asbabun Nuzul - Surah an Nahl: 16:126-128

Petikan dari buku Asbabun Nuzul (m/s 470-471), Sejarah Turunnya Ayat-ayat Al Quran, Oleh: Imam Jalaluddin As Sayuthi, Terjemahan: K.H.Q. Shaleh, H.A.A. Dahlan, Prof.Dr.H.M.D. Dahlan, ISBN: 983-885-076-4, Penerbit: Victory Agencie

"Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar."
(Surah an Nahl: 16:126)

"Dan bersabarlah (wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar itu); dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah; dan janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan."
(Surah an Nahl: 16:127)

"Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa, dan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya."
(Surah an Nahl: 16:128)

Dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa ketika Rasulullah berdiri di hadapan mayat Hamzah yang syahid dan dirosakkan anggota badannya, bersabdalah Rasulullah: "Aku akan bunuh 70 orang dari mereka sebagaimana mereka lakukan terhadap dirimu." Maka turunlah Jibril menyampaikan wahyu terakhir dalam surah an Nahl (Surah an Nahl: 16: 126-128) ketika Nabi masih lagi berdiri. Wahyu ini turun sebagai teguran kapada Nabi dan Rasulullah melupakan hasratnya itu.
(Diriwayatkan oleh al Hakim dan al Baihaqi di dalam kitab ad Dalail dan Al Bazzar dari Abi Hurairah)

Dalam riwayat lain ada dikemukakan bahawa ketika perang Uhud seramai 70 orang Islam mati syahid. Ia terdiri daripada 64 orang dari kaum Ansar dan 6 orang dari kaum Muhajirin dan di antaranya termasuklah Hamzah. Kesemuanya dirosakkan anggota badannya dengan kejam. Berkatalah kaum Ansar: "Jika kami mendapat kemenangan, kami akan melakukan lebih dari apa yang mereka lakukan." Ketika terjadinya peristiwa pembebasan kota Mekah turunlah ayat ini (Surah an Nahl: 16: 126) sebagai larangan kepada kaum Muslimin mengadakan pembalasan yang lebih kejam dan dsarankan kepada mereka supaya bersabar.
(Diriwayatkan oleh at Tarmizi yang menganggap hadis ini hasan dan al Hakim dari Ubay bin Kaab)

Keterangan

Menurut zahirnya, dikatakan bahawa penurunan tiga ayat yang terakhir ini ditangguhkan sehingga Fathu Mekah. Akan tetapi dari hadis-hadis sebelumnya dikatakan bahawa penurunannya adalah pada perang Uhud.

Menurut kesimpulan yang dibuat oleh Ibnu Hishar, ayat-ayat ini turun sebanyak tiga kali. Pada mulanya turun di Mekah, keduanya pada perang Uhud dan ketiganya pada waktu Fathu Mekah untuk memberi peringatan kepada hamba-hambanya.

Peringatan: Sebarang kekeliruan dalam penterjemahan hendaklah dirujuk kembali pada buku asal di dalam Bahasa Arab yang bertajuk "Lubaabun Nuquul fii Asbaabun Nuzuul"

No comments: